PERTANIAN

TAKRIF PERTANIAN

Sebagai permulaan,   dan untuk makluman saudara,   difikirkan ada baiknya jika subjek  ’pertanian’  diketahui maksud dan takrifnya.   Dengan cara ini dapatlah kita benar-benar memahami bidang aktivitinya dan peranannya dalam kehidupan manusia sejagat.   Di bawah ini dipetik sedikit penjelasan yang didapati di dalam Wikipedia ensiklopedia bebas.

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladanganpenternakan, danperhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Kajian pertanian dikenali sebagai sains pertanian.

Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik, termasuk cara meluaskan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain. Penanaman tanaman di tanah suai tani dan penternakan haiwan di kawasan ragut merupakan asas pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi perkara yang dipentingkan. Di dunia maju, julat bentuk tersebut biasanya terbentang antara pertanian mampan(misalnya, permakultur dan pertanian organik) dan pertanian intensif (misalnya, pertanian perindustrian).

Agronomi (ilmu pertanian) moden, pembiakbakaan tumbuhanracun perosak, dan baja, serta juga peningkatan teknologi telah menambah hasil tanaman secara mendadak tetapi pada waktu yang sama, sangat menjejaskan ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakbakaan pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif (dengan amalan yang serupa juga dipergunakan untuk ayam) juga meningkatkan keluaran daging, tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan kesihatan antibiotikhormon pertumbuhan, dan bahan kimia yang lain yang umum digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.

Keluaran pertanian utama secara umum boleh digolongkan kepada makanangentianbahan api,bahan mentahbahan farmaseutik, dan perangsang, serta beraneka jenis keluaran hiasan dan lepahiasan yang eksotik.

Pada 2000-an, tumbuhan telah ditanam terutamanya untuk menghasilkan:

·         biobahan api, bahan farmaseutik, bahan biofarmaseutik, dan bioplastik;

·         makanan, misalnya bijirinsayur-sayuranbuah-buahan, dan daging;

·         gentian, misalnya kapasbulu biri-birihemsutera, dan flaks;

·         bahan mentah, misalnya kayu gergaji, dan buluh;

·         perangsang, misalnya tembakaualkoholcandukokaina, dan digitalis;

·         biobahan api, misalnya metana (daripada biojisim), etanol, dan biodiesel;

·         keluaran hiasan, misalnya bunga potong, dan tumbuhan semaian, serta juga ikan dan burungtropika untuk perdagangan haiwan kesayangan; dan

·         bahan lain yang berguna, misalnya damar.

Walaupun pada 2003, bilangan pekerja pertanian tidak sebegitu banyak, namun kerana kesedaran terhadap pentingnya pertanian, jumlahnya naik dengan pesat pada 2008. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan melebihi pertanian sebagai sektor ekonomi yang menggaji paling banyak orang di seluruh dunia pada tahun itu.[5] Meskipun pertanian menggaji melebihi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia pada 2007, pengeluaran pertanian hanya menyumbangkan kurang daripada 5%keluaran dunia kasar (iaitu jumlah kesemua keluaran dalam negara kasar (KDNK).

ISLAM MENITIKBERATKAN KEGIATAN PERTANIAN

Manusia pada asasnya tidak dapat hidup tanpa bahan-bahan makanan dan minuman.   Bahan-bahan tersebut,  sememangnya telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t.  di bumi ini.  Terserahlah kepada manusia untuk mengembangkan bahan-bahan tersebut supaya  dapat dijadikan makanan yang lebih lazat dan bermutu tinggi.

Oleh yang demikian,  kaum petani,  penternak  dan  nelayan  adalah golongan yang amat penting untuk memenuhi tanggungjawab Fardu Kifayah.  Ini sesuai dengan perubahan masa dan keperluan masyarakat di seluruh Negara.   Hasil-hasil pertanian bukan lagi dijadikan sebagai bahan sara diri tetapi ia hendaklah dijadikan sebagai suatu sumber pendapatan yang boleh meningkatkan taraf hidup sesuai dengan perkembangan masyarakat.

Kurangnya tenaga mahir dalam sektor pertanian adalah kerana ia belum menjadi sektor yang benar-benar lumayan dan mempunyai status yang tinggi.   Tetapi melalui Dasar Pertanian Negara,  para pengusaha di bidang pertanian mempunyai peluang yang lebih luas untuk meletakkan diri mereka sebagai pengusaha yang berpendapatan tinggi melalui pendekatan baru yang berasaskan pertanian komersil yang menggunakan teknologi tinggi.

Tuntutan menjadi kaya adalah tuntutan Islam kerana orang-orang yang memberi zakat ialah  orang yang berkemampuan dan cukup syarat.   Orang-orang seperti ini hanya mampu lahir dari kalangan ahli-ahli pertanian atau siswazah di bidang-bidang yang berkaitan dengan perushaan dan perniagaan.

Selagi sektor pertanian didokongi oleh mereka yang tidak mempunyai latarbelakang yang  kukuh dari  segi ilmu pertanian atau perniagaan maka selagi itulah sekkor ini akan dimonopoli oleh mereka yang tidak mempunyai tanggungjawab di segi Fardu Kifayah,  yakni orang-orang bukan Islam.

Kesedaran untuk memperhebatkan sector pertanian ini akan menjadi lebih meningkat dengan tertanamnya dengan yakin kesedaran dan kefahaman bahawa Allah s.w.t melarang umatnya daripada melakukan pembaziran terhadap sumber alam seperti tanah,  binatang,  pokok dan air sebagaimana yang tersebut di dalam ayat-ayat Al-Quran,  di mana Allah s.w.t.  memberi amaran untuk menarik balik nikmat berkenaan jika ia tidak digunakan sepenuhnya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Katakanlah lagi:  “Bagaimana fikiran kamu,  sekiranya air kamu hilang lenyap  (ditelan bumi),  maka siapakah  (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?” Al-Mulk  (67); 30).

Di dalam Islam kemiskinan adalah musuh yang perlu dibenteras.  Ia selalunya berada pada mereka yang tidak mempunyai cita-cita,  lemah semangat dan tidak mempunyai keyakinan diri untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka.    Salah satu bahaya yang sedang mengelilingi orang-orang miskin ialah mereka sedang dipengaruhi oleh berbagai anasir terutama oleh mereka yang ingin mencabut iman mereka.  Ini terbukti dengan peristiwa-peristiwa dunia sekarang di mana segelintir orang-orang Islam yang miskin telah sanggup ditukarkan agama mereka demi untuk mendapat sesuap makanan.

Dalam sebuah hadis,  Rasulullah s.a.w.  ada memperingatkan orang-orang Islam supaya jangan sampai terjerumus ke lembah fakir miskin kerana ia akan mudah ditarik menjadi kufur sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran.’ Riwayat Abu Naim.

Para petani,  penternak dan nelayan melalui sektor pertanian yang terbentang luas ini boleh menjadikan sektor ini sebagai satu tapak untuk menjadi orang yang berjaya  -  tidak menjadi fakir atau miskin.   Ini bermakna mereka akan menjadi umat Islam yang tidak taat sekirangnya membiarkan mereka kekal dalam kemiskinan.  Adalah wajib bagi mereka membuang sikap rendah diri,  tidak ada keyakinan dan tidak mahu berikhtiar untuk menjadi orang yang kaya.

Para petani dan penternak dan nelayan yang berjaya adalah sebagai wakil umat Islam yang mencapai tahap khalifah di muka bumi ini.

Kecemerlangan  Islam dan umatnya di Negara ini sangat bergantung kepada  sokongan petani,  penternak  dan  nelayan.  Ini kerana sebahagian besar rakyat Negara tinggal di luar Bandar di mana ibu bapa mereka adalah dari golongan petani,  penternak  dan  nelayan.

Kejayaan generasi akan datang adalah bergantung kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan pembangunan sahsiah mereka.   Untuk mencapai tahap tersebut,  ibu bapa mestilah mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka.   Oleh sebab itu golongan petani,  penternak  dan  nelayan yang berada di seluruh pelusuk rantau Negara ini mestilah menguatkan azam untuk meningkat taraf pendidikan,  sahsiah atau akhlah mereka dan anak-anak mereka demi menjamin kecemerlangan umat Islam di masa akan datang.

Sumber: Penerbitan Kementerian Pertanian Malaysia bertajuk  ‘PERTANIAN DALAM AL-QURAN’,  muka surat  12 – 17.

PENJELASAN

Pertanian pada asasnya ialah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam,   menternak binatang,   memelihara dan menangkap ikan.    Fungsi pertanian pada peringkat awalnya dahulu adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia  iaitu  makanan dan minuman.   Namun apabila meningkatnya tamadun manusia,   fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Pertanian adalah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah S.W.T,   yang berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia.    Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat,   maka pertanian adalah salah satu daripada tuntutan agama. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Ain bagi manusia yang hanya dengan cara bertani sahaja boleh menjamin kehidupannya. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka. Dalam konteks dunia hari ini,   pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardhu Kifayah oleh kerana manusia,  hasil daripada perkembangan tamadun mereka,   terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang,   seperti terkandung di dalam Al-Quran yang mempunyai maksud:

‘Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu;   mudah digunakan,   maka berjalanlah di merata ceruk rantaunya,   serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah;    dan ingatlah,   kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula;   maka hargailah nikmatNya  dan  takutlah kemungkaranNya.’

Melalui lamanweb ini kita akan bentangkan kisah pertanian secara meluas.    Kita akan lihat pertanian dari berbagai aspek termasuk sejarahnya,   perkembangannya,  teknologi moden yang dicipta dan digunakan,   sektor-sektor pertanian yang ditumpukan perhatian,   potensi ekonominya  dan  penting sekali hubungan dan pengaruhnya dalam kehidupan kita hari ini.      Melalui lamanweb ini  akan kita dapatkan sumbangan dari pakar,  pengamal pertanian,  ahli-ahli sains pertanian dan juga para penyelidik untuk menghuraikan subjek-subjek yang berkaitan dan berfaedah kepada,  terutama yang bergiat dalam bidang pertanian.     Tujuannya ialah supaya kita benar-benar memahaminya dan seterusnya menghayati ehwalnya supaya dapatlah sama-sama kita manfaatkan kehadirannya dalam kehidupan kita.

Tidak boleh kita nafikan,  bahawa walaupun kita sedang bergerak dengan pesatnya ke arah sebuah negara maju,    pada asasnya negara kita ialah sebuah negera pertanian.    Di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia umpamanya,   sama ada di Kelantan,  Terengganu  atau  pun di Pahang,   kawasan-kawasan yang dihuni oleh produk pertanian adalah luas.   Dan jumlah insan yang terlibat  dalam bidang pertanian ini pula adalah banyak.   Ke arah mana juga mata memandang akan kita lihat terbentang di hadapan kita,  kawasan-kawasan tanaman seperti  getah,  kelapa sawit,  padi,  kelapa,  tembakau dan lain-lainnya.   Tidak kurang juga dusun-dusun buah-buahan seperti durian,  rambutan,  limau,  manggis,  mangga,  pisang,  cempedak,  pisang  dan lain-lain lagi.    Begitu juga kawasan-kawasan yang ditanam dengan sayur-sayuran seperti cili,  timun,  petola,  bayam,  lobak,  labu  dan sebagainya,  banyak di dapati di sekitar laluan perjalanan kita.   Inilah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,   dan inilah satu anugerah yang harus kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Kita lihat pula Dasar Pertanian Negara. Dasar ini yang telah digubal pada tahun 1984 dan telah dilaksanakan semasa pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang pesat,   menjadi landasan kepada pembangunan pertanian negara. Lima objektif yang spesifik telah diutarakan iaitu:

·         Pencapaian pembangunan yang seimbang antara sektor pertanian dengan sektor-sektor ekonomi yang lain.

·         Peningkatan integrasi ekonomi antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain,  seperti pembuatan.

·         Pencapaian tahap perkembangan yang lebih tinggi bagi sub-sektor seperti industri makanan dan industri berasaskan sumber pertanian.

·         Pencapaian penyertaan dan penglibatan masyarakat bumiputera yang lebih luas dan berkesan dalam pertanian moden dan komersil,  perniagaan tani dan perdagangan pertanian,   dan

·         Pembangunan pertanian yang berdaya maju.

Usaha mencapai kemajuan  dalam bidang pertanian memerlukan berbagai pendekatan seperti dari segi pengurusan,  ekonomi  dan teknologi.   Allah S.W.T telah pun memberikan banyak petunjuk bagi mencapai kemajuan dalam bidang pertanian sepertimana terkandung dalam ayat-ayat mengenainya di dalam Al-Quran. Bagaimana pun bidang pertanian di negarfa ini perlulah disesuaikan dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku di dunia hari ini.

Penggunaan pendekatan baru dan teknologi moden perlu dititikberatkan secara menyeluruh dalam pembangunan pertanian di negara kita.

PELBAGAI TANAMAN DAN AKTIVITI PERTANIAN

CENDAWAN

Cendawan ialah sejenis sayur yang lazat dan berkhasiat.  Ia mengandungi pelbagai zat pemakanan yang baik untuk kesihatan.  Keistimewaannya: ia mampu mengurangkan kolesterol tubuh dan menghalang pendarahan otak.

Cendawan memerlukan bahan organik yang telah reput seperti kayu dan daun sebagai makanan.  Ia terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian di atas permukaan media pertumbuhan (substrat) yang dinamakan jisim berbuah dan di dalam substrat iaitu bahagian tampang.  Jisim berbuah terdiri daripada tudung yang sedap dimakan dan tangkai.  Di bawah permukaan tudung terdapat insang-insang yang menghasilkan biji benih iaitu spora.  Bahagian tampang berfungsi untuk menyerap bahan makanan melalui struktur seperti akar yang terdiri daripada miselium iaitu sekumpulan bebenang hifa yang halus. Miselium mengeluarkan enzim yang dapat menghancurkan bahan organik sebelum ia diserap untuk pertumbuhan dan pembiakan.

Jenis cendawan yang banyak ditanam di Malaysia pada masa ini ialah cendawan tiram putih (Pleurotus florida), tiram kelabu (P. Sajor-caju), abalon (P. cystidiosus), shitake (Lentinus edodes) dan cendawan telinga kera (Auricularia polytricha).  Cendawan abalon, tiram putih dan kelabu yang segar amat popular, diikuti cendawan kering shitake, cendawan butang dalam tin, abalon dan cendawan jerami padi.

Dewasa ini terdapat ratusan pengusaha yang menanam cendawan.  Antara faktor yang mendorong mereka berbuat demikian ialah cendawan mengandungi khasiat pemakanan dan perubatan, mendapat keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, bahan sampingan pertanian dan industri yang banyak (hampar kapas, habuk kayu getah dan habuk kelapa sawit) dapat menjimatkan kos substrat dan pasaran cendawan segar yang cerah.  Umumnya, mereka terdiri daripada penanam padi, penanam sayur, pengusaha kantin, pesara dan kakitangan kerajaan.  Negeri Selangor mempunyai paling ramai penanam cendawan diikuti dengan negeri Kedah, Pahang, Perlis, Johor dan Melaka.  Kebanyakan mereka memperoleh teknologi penanaman cendawan daripada agensi kerajaan seperti MARDI dan Jabatan Pertanian (50.40%), negara luar seperti Thailand, Taiwan, Australia dan Jepun (26.48%), buku dan kawan (20.49%) dan universiti tempatan (2.56%).

Perantaraan pasaran cendawan segar terdiri daripada pasar tani dan pasar malam bagi pengusaha umum, pengguna institusi (hotel, restoran, pasar raya) dan juga pengeksport.  Harga bergantung pada jenis dan kualiti cendawan segar yang dipasarkan.  Pada umumnya harga runcit antara RM3.00-RM11.00/kg.

Oleh sebab permintaan melebihi bekalan, harga dan import cendawan meningkat dari setahun ke setahun.  Contohnya, pada tahun 1996 cendawan segar yang sejuk dan terproses telah dimport sebanyak 25 ribu tan bernilai RM52 juta, berbanding dengan hanya 3 ribu tan bernilai RM22 juta pada tahun 1990.  Pada tahun 1993 harga runcit bagi cendawan tiram kelabu dan tiram putih segar di Semenanjung Malaysia masing-masingnya RM7.08/kg dan RM7.33/kg.  Harga ini telah meningkat kepada RM7.16/kg dan RM8.11/kg pada tahun 1997.  Menurut FAMA, pengeluaran cendawan segar tempatan pada tahun 1989 ialah 17 tan dan pada 1990 berkurangan kepada 15 tan dan dijangka terus berkurangan pada tahun-tahun berikutnya.

Pihak institusi merupakan pengguna terbesar komoditi cendawan ini.  Jumlah penggunaan setiap bulan bagi cendawan segar, cendawan kering dan cendawan dalam tin, masing-masing ialah 41.79%, 50.55% dan 7.75%.  Manakala purata harga belian masing-masing pula ialah RM11.00/kg. RM71.00/kg dan RM2.14/tin.

Jumlah cendawan segar yang dibeli oleh pihak institusi dalam masa sebulan ialah 1 501 kg.  Jumlah ini terdiri daripada 310 kg. tiram putih dan kelabu, 591 kg. abalon, 17 kg. cendawan jerami padi dan 583 kg. cendawan butang dan shitake.  Jumlah pembelian cendawan dalam tin sebulan pula ialah 20 530 kg. (20.52 tan) iaitu 4 060 kg. tiram putih dan kelabu, 3 910 kg. abalon dan 12 560 kg. cendawan butang.  Bagi cendawan kering, jumlah permintaan sebulan ialah 2 013,07 kg.

Jenis masakan yang dihidangkan dengan menggunakan cendawan bagi restoran dan hotel mengikut keutamaan ialah sayur campuran, masak dengan daging, masak dengan ayam atau itik, masak dengan ikan, sup cendawan dan masak cendawan sahaja.  Pada tahun 1990, Malaysia mengimport cendawan segar atau disejukkan hanya 54 tan bernilai RM336 ribu, tetapi meningkat kepada 487 tan bernilai RM2 juta pada tahun 1996.  Import cendawan yang diproses juga meningkat kepada 24 ribu tan bernilai RM50 juta pada tahun 1996 berbanding hanyak 3 ribu tan bernilai RM21 juta pada tahun 1990.

Memandangkan penggunaan dan pengimportan cendawan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun maka pengeluaran cendawan tempatan oleh pengusaha sangatlah cerah.  Pengusaha cendawan tempatan yang sedia ada atau yang baru melibatkan diri perlu menggandakan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat disamping dapat mengurangkan bil import cendawan oleh Malaysia. - Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999
ASAM JAWA

Khabarnya pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi benua Afrika.  Kini tersebar luas ke serata dunia.  Ibu negeri Senegal diberi nama Dakar dalam bahasa tempatan yang bermaksud pokok asam jawa.  Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia oleh pedagang Arab.  Kini, India ialah negara yang mempunyai ladang asam jawa yang paling ekstensif di dunia.  Sebanyak 250 0000 tan asam dihasilkan setiap tahun, 3000 tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara.

Pokok yang tua boleh mencapai ketinggian sehingga 25 m.  Ia boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Batang utama pokoknya pendek.  Dahan dan cabang pokok terbuka luas.  Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang.  Kanopi pokok berbentuk seperti kubah yang bulat melebar.  Tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah.  Sesuai dijadikan pokok teduhan.  Amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan.

Daunnya berwarna hijau terang, panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur sebanyak 10-20 pasang.  Daunnya sentiasa menghijau, tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur.  Daun ini bertangkup pada waktu malam.  Bunga asam jawa kecil, berwarna kuning air dan tumbuh di cabang.  Kelopak bunga berwarna merah jambu.  Ia akan gugur apabila bunga mengembang.

Bunga akan mengeluarkan lenggai yang panjang, melengkung sedikit, permukaannya cengkik dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung di dalamnya.  Warnanya coklat karat.  Apabila matang, lenggai menjadi rapuh dan mudah terbuka.  Apabila merekah, nampak isinya (pulpa) berwarna coklat gelap dan biji berwarna coklat kehitam-hitaman, keras dan berkilat.  Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya masam.  Pulpa ini mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti asid sitrik, tartarik, asitik dan askorbik (Vitamin C).  Pulpa ini juga merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya kalsium.  Walaupun mengandungi banyak gula, pulpanya tetap masam.

Mudah dibiak, hasilnya banyak

Pokok ini mudah dibiakkan sama ada menggunakan biji benih atau secara tampang.  Bijinya tahan lama dan mudah bercambah.  Apabila ditanam dengan biji, ia mula berbuah selepas 6-8 tahun manakala yang ditanam secara tampang akan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam.  Tangkai buah asam jawa sangat kuat.  Di India, biasanya buah dibiarkan masak di atas pokok hinggalah kandungan airnya berkurangan sebanyak 20%.  Bagi pasaran segar, buah dipetik dengan menggunting tangkainya supaya lenggai tidak rosak.  Dahan digoncang supaya buah yang masak gugur dan dikutip.  Pokok yang matang boleh menghasilkan 150-200 kg buah sepokok setahun atau lebih kurang 12-16 tan sehektar (30-55%) pulpa, 11-30% kulit dan gentian dan 33-40% biji.

Enak rasa sebagai perisa

Buah asam jawa boleh dimakan segar.  Biasanya ia dijadikan jus yang dicampur air gula sebagai minuman segar, terutamanya di kawasan tropika.  Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit.  Selain itu, asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan/makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi.  Mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa biji yang dibungkus.  Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini, hinggakan terdapat pepatah Melayu yang berbunyi ‘garam di laut asam di darat, dalam periuk bertemu jua’.  Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam masakan.

Di pantai timur Malaysia khususnya, asam jawa diproses menjadi sejenis pencuci mulut.  Asam jawa disalut dengan gula pasir dan dibalut seperti gula-gula.  Enak rasanya.  Di negara Amerika Selatan, asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan, minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain.  Di Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi.

Penyembuh yang mujarab

Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya.  Dari segi komersial, asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung.  Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah kehadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (scurvy).

Sudah menjadi kelaziman, asam jawa digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan.  Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak.  Apabila sedikit garam dicampur ke dalam air asam, ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi.

Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh.  Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir.

Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik.  Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata.  Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu.  Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.

Pelbagai fungsi, nilainya amat bererti

Di Afrika Barat infusi (air seduhan) lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarna kulit kambing.  Pulpanya pula digunakan sebagai bahan ‘fixative’ bersama-sama kunyit atau annato dalam pewarna (dye).  Apabila pulpa ini dicampur air masin, ia amat baik digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang.

Daun asam jawa boleh dijadikan makanan kepada ternakan lembu, kambing dan ulat sutera.  Manakala daun dan bunga boleh dijadikan ‘mordant’ kepada bahan pewarna.  Di Selatan India, bunga asam jawa adalah sumber madu yang baik dan madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan.

Tepung biji asam digunakan untuk merawat kapas dan jut dalam industri tekstil di India.  Dalam industri yang lain pula tepung asam jawa digunakan dalam membuat perekat kertas, perawatan belulang, pembuatan plastik, gam kayu, penstabil batu-bata, bahan pengikat bagi bahan penyata habuk papan dan pemadat bahan letupan.  Biji asam juga menghasilkan sejenis minyak yang berwarna ambar (kuning jingga) yang digunakan sebagai “varnish” dan pengilat cat.

Kayu pokok asam jawa daripada jenis kayu keras, berat, kuat, tahan lama dan rintang terhadap serangan perosak.  Digunakan untuk membuat perabut rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang, pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung penumbuk beras dan lain-lain lagi.  Selain itu, kayu juga boleh digunakan sebagai bahan bakar.  Abu kayu yang terbakar boleh digunakan bagi merawat dan menanggalkan bulu daripada  kulit kambing.  Dahan/cabang atau akar pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40 tahun) -   Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.

PEGAGA

Pegaga telah lama digunakan sejak kurun ke-17 sebagai herba untuk merawat pelbagai penyakit.  Melalui penemuan sains moden, pegaga terbukti sebagai salah satu tumbuhan herba yang berkhasiat dan amat baik digunakan seperti yang diamalkan oleh orang-orang dahulu, sesuai dengan zaman teknologi yang serba canggih ini.Pegaga boleh dimakan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak sama ada sebagai ulam, dimasak atau dibuat jus.  Mengikut ceritanya masyarakat India purba makan dua helai daun pegaga sehari untuk awet muda dan kulit yang sihat.  Ketika itu mereka juga menggunakan pegaga atau Centella asiatica untuk merawat penyakit kusta, ulser, luka-luka dan batuk kering.  Dalam perubahan moden, sejenis sebatian yang dikenali sebagai asiatikosida, diekstrak daripada daun pegaga dan digunakan untuk mengubati penyakit kusta.  Pegaga juga dikatakan mujarab mengubati ulser, kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya.  Manakala air pegaga pula dijadikan sebagai minuman ‘penyejuk’ badan bagi masyarakat Cina.  Mereka juga percaya pegaga adalah herba serbaguna yang dapat mengubati sistem saraf dan meredakan tekanan perasaan.  Ahli perubatan Cina dahulu kala menggunakan pegaga untuk mengubati demam dan selsema.

Dalam masyarakat Melayu pula, pegaga telah lama digunakan di kampung-kampung sebagai ulam atau dibuat kerabu.  Mengikut kepercayaan orang Melayu juga, pegaga sangat baik untuk wanita lepas bersalin kerana dikatakan mempunyai khasiat untuk menguncupkan rahim.   Keseluruhan pokok pegaga termasuk akar dibersihkan, lalu dikisar dengan sedikit ibu garam untuk menjadikan air atau jus pegaga.  Amalan ini amat baik diteruskan walaupun selepas pantang, kerana pegaga dapat membersihkan darah, membaiki peredaran darah dan mempunyai kandungan mineral yang tinggi terutama kalsium dan zat besi.  Air atau jus pegaga boleh diadun bersama gula merah atau madu untuk memperoleh rasa yang lebih enak.

Dalam perubatan tradisional, amalan makan pegaga atau minum jus pegaga dikatakan mujarab untuk membantu masalah insomnia, darah tinggi, lelah (asthma) dan tiada nafsu makan.  Selain itu, daun pegaga yang dilumat dapat menghentikan pendarahan pada luka kecil dan mengelakkan jangkitan kuman.  Cara ini juga digunakan untuk mengubati kudis dan menghilangkan gatal-gatal kulit.  Pegaga juga dikatakan memberi kesan pada beberapa peringkat pembetukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pertumbuhan rambut dan kuku serta memperkuat gigi.

Pegaga bukan sahaja popular di Asia, tetapi juga diiktiraf oleh masyarakat barat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  Mereka makan pegaga sebagai herba untuk kecergasan minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran terutama untuk kanak-kanak.  Mereka juga menggelar pegaga sebagai ‘herba ajaib’ kerana dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Di samping mengembalikan kecergasan badan, pegaga juga dikatakan dapat mengubati beberapa penyakit lain seperti rheumatism, sakit tekak, tonsilitis, hepatitis dan juga digelar sebagai “arthritis herbs”, iaitu herba yang mujarab untuk mengubati penyakit arthritis.  Pada masa ini pelbagai produk daripada pegaga mudah didapati di pasaran seperti teh herba, kordial dan sebagai campuran kepada herba-herba lain.  Salah sebuah syarikat kosmetik terbesar di dunia juga menggunakan ekstrak pegaga dalam pengeluaran alat solek mereka.

Pokok pegaga amat mudah ditanam.  Biasanya pegaga yang dijual di pasar, dikutip bersama akarnya sekali.  Akar-akar pegaga lebihan makan boleh dicucukkan sahaja di dalam pasu atau di mana sahaja pada tempat yang ada sedikit teduhan.  Ia akan tumbuh subur serta mudah merebak.  Jadikanlah pegaga sebagai salah satu koleksi tanaman ulaman tradisional anda. -   Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.

Menurut kajian yang dibuat oleh Natural Product Discovery (NPD), usahasama antara Malaysia dan Massachusette Institute  of Technology (MIT USA) telah menjumpai bahawa kandungan yang terdapat dalam pegaga boleh bertindak sebagai agen anti-kanser.  Kini pegaga menduduki satu daripada tangga 10 teratas dalam senarai jenis herba yang terlaris di Amerika Syarikat dan Eropah.  Pegaga merupakan salah satu herba yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu daripada spesis tumbuhan ubat yang paling penting perlu diperlihara dan dibiakkan.  Menurut kajian yang dijalankan di luar dan dalam negara, pegaga dapat memberi kesan positif terhadap penyakit-penyakit berikut:-

  • Sistem Pernafasan
  • Sistem Penghadaman
  • Sistem Imun Badan
  • Sistem Kardiovaskular
  • Demam
  • Gangguan Dalam Tubuh
  • Penyakit Kulit
  • Sakit Tulang dan Sakit Sendi
  • Sakit Puan
  • Akal Fikiran
  • Insomnia

Berita gembira bagi yang lemah tenaga batin,  dengan mengamalkan pegaga air atau nama saintifiknya Hydrocotyle Asiatica setiap hari, seseorang itu dapat menguatkan kembali tenaga batinnya.

Petua:

7 helai daun pegaga air dikisar bersama dengan 200 ml air. Kemudian, 1 sudu madu lebah asli dimasukkan ke dalam ramuan tadi.  Perahkan juga sedikit limau nipis.  Amalkan petua ini setiap hari dan rasai keberkesannya.  Sumber:  Wawasan Pertanian Bilangan 16/2002

KUNYIT

Selain memberi warna kuning yang menarik, kunyit juga menyedapkan rasa makanan dan mempunyai khasiatnya yang tertentu.  Serbuk kunyit juga salah satu bahan serbuk kari.  Ia memberi warna dan bau harum disamping pelbagai perisa dan bahan rempah yang lain seperti jintan putih, buah pala, kulit kayu manis, ketumbar dan cili.

Dalam perubatan tradisional, kunyit banyak digunakan dalam campuran rempah ratus dan jamu.  Mengikut kepercayaan orang Melayu, ibu kunyit boleh membersihkan rahim dan mengecutkannya bagi wanita selepas bersalin.  Walau bagaimanapun, biasanya kunyit tidak digunakan bersendirian tetapi dicampurkan dengan lada hitam atau lempoyang.  Kunyit juga dikatakan boleh mengubati sakit perut, reumatisme, demam, batuk, penyakit lelah dan cirit-birit.  Bagi mengurangkan rasa gatal sakit mata, tititskan air rebusan kunyit ke dalam mata.  Manakala kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat menghilangkan kurap susu yang biasa dialami oleh bayi yang baru lahir.  Dalam masyarakat Melayu Sarawak, bunga kunyit digunakan oleh wanita selepas bersalin sebagai ulam.  Ia dikatakan sama khasiatnya dengan ibu kunyit iaitu menyembuhkan luka bersalin, memulihkan rahim dan awet muda.  Tetapi dinasihatkan jangan makan terlalu banyak.  Bagi masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung pula, tidak terhadap kepada wanita bersalin sahaja, amalan makan bunga kunyit sebagai ulam dipercayai dalam menambah seri muka.  Daun kunyit pula digunakan dalam berbagai-bagai jenis lauk seperti rendang, masak lemak dan masakan secara rebus, untuk mendapatkan aromanya serta membangkitkan selera.

Dalam perubatan tradisional India, kunyit digunakan sebagai herba pencuci.  Sesetengah masyarakatnya menggunakan kunyit sebagai sapuan (pes) pada bahagian badan untuk mengubati penyakit kulit dan gatal-gatal.  Ahli perubatan Cina percaya kunyit boleh melancarkan perjalanan darah, melegakan sakit, menghilangkan kesan lebam dan darah beku serta bagus untuk mengubati sakit perut dan bahagian tangan.  Dalam perubatan Thai pula, kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.  Ada penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu proses ungkaibina lemak, mempunyai kesan antimerangsang tindakan dan non-steroidal.

Salah satu ciri yang menentukan mutu kunyit ialah kandungan curcumin dan minyak patinya.  Curcumin ialah salah satu pigmen kunyit yang mengandungi ciri perubatan.  Minyak pati kunyit didapati boleh menyembuhkan bengkak dan sakit artritis serta boleh menentang kuman.  Kunyit juga banyak digunakan sebagai bahan solekan tradisional seperti krim muka dan bahan lulur untuk melembutkan dan membersihkan kulit. Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.

KEAJAIBAN HERBA

Herba ialah tumbuhan yang ditanam dan diproses untuk dimanfaatkan dalam berbagai-bagai kegunaan.  Ia sering digunakan sebagai bahan dalam masakan, barang kosmetik, haruman, perisa dan penjagaan kesihatan.  Namun, kegunaannya yang biasa dan paling popular masih terletak pada ciri-ciri penyembuhannya.  Ia digunakan sama ada sebagai ubat herba, salap, ubat-ubat berasaskan herba atau dalam makanan kesihatan.

Dari segi perubatan pencegahan dan rawatan penyakit, memang sudah berzaman herba digunakan.  Kegunaannya dalam penjagaan kesihatan telah dicatatkan dalam pengubatan Ayurveda (sistem pengubatan tradisi India) dan farmakopeia Cina hampir 5,000 tahun yang lalu.  Di Mesir, herba ditanam dalam taman-taman yang ada kaitan rapat dengan rumah ibadah 4,000 tahun yang lalu.  Mandian herba dan wangi-wangian daripada kemenyan/setanggi amat popular di awal tamadun orang-orang Mesir, Rom dan Grik.

Dari segi sejarah dan kebudayaan Melayu pula, herba bukan sahaja digunakan dalam pengubatan, tetapi ia juga dimakan sebagai ulam.  Ulam dianggap sayuran tradisi yang penting dalam diet harian.  Ia dimakan segar, dicecah dengan sambal belacan/sos lain atau dicelur.  Dipercayai, ulam dapat menguatkan tubuh dengan meningkatkan sistem imun dan pencernaan.  Dalam keadaan ini, ulam dimakan sebagai ubat pencegahan.  Lazimnya, segala jenis ulaman dipercayai dapat menyegar dan mempermuda kulit.  Ia popular di kalangan wanita sebagai bahan awet muda.

Seiring dengan perkembangan ubat-ubatan moden, tiruan dan antibiotik pada awal abad ke-19, herba kekal dengan peranannya yang penting dalam penjagaan kesihatan.  Di negara yang ramai penduduknya seperti India dan China, iaitu mencecah angka 1 bilion, jenis terapi yang utama masih lagi dalam bentuk tumbuh-tumbuhan atau ekstraknya.  Sistem pengubatan Cina menggunakan lebih 80% bahan tumbuh-tumbuhan dalam ubat-ubatannya.  Di Amerika Syarikat juga, produk tumbuh-tumbuhan masih merupakan sumber penting dalam pengskripsian ubat-ubatan walaupun bahan sintetik menguasai pasaran.  Lebih kurang 25% preskripsi yang dikeluarkan oleh farmasi di negara itu dari 1959-1980 mengandungi ekstrak tumbuh-tumbuhan.

Mengikut anggaran WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), hampir 80% penduduk dunia bergantung pada rawatan secara tradisi.  Bilangannya semakin bertambah termasuklah daripada golongan yang muda.  Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, seluruh dunia terutamanya negara maju dilanda gelombang berbalik ke bahan semula jadi.  Bahaya dan keracunan yang berkaitan dengan penggunaan ubat dan antibiotik sintetik secara sembarangan, telah menyedarkan Barat dan Timur hakikat penggunaan ubat-ubatan ke arah kehidupan semula jadi yang lebih sihat dan selamat.  Di negara barat kecenderungan ke arah kehidupan yang lebih alamiah dan menyeluruh telah mencetuskan kewujudan kedai makanan kesihatan yang menjual pelbagai ekstrak dan teh asli dengan banyaknya.  Di timur Eropah, perubatan tradisional telah digabungkan dengan perubatan moden yang mengandungi 60% tumbuh-tumbuhan yang digunakan dalam preskripsi.

Prospek herba

Herba digunakan dengan meluas dalam pelbagai jenis produk.  Daripada pengubatan tradisional hingga ke ekstrak yang mengandungi bahan aktif yang standard, hinggalah produk kimia yang tulen digunakan dalam ubat-ubatan.  Herba juga digunakan dalam industri makanan, minuman, perisa dan wangi-wangian, minuman, perisa dan wangi-wangian.  Yang paling banyak mengaut keuntungan ialah industri farmasi dan makanan kesihatan.

Dari awal abad ke 19, tanaman herba telah merevolusikan dunia pengubatan.  Selain mempunyai nilai ringgit, nilai sebenar herba terletak pada ciri-cirinya yang dapat melegakan kesengsaraan manusia dan bilangan manusia yang dapat diselamatkan oleh tumbuh-tumbuhan ubatan sepanjang zaman.

Di Malaysia, kekayaan kita sebenarnya terletak pada kepelbagaian biologi flora dan faunanya.  Sebagai sebahagian daripada hutan hujan tropika, kawasan ini dianggap sebagai yang paling berevolusi dan kaya dengan 20,000 spesies tumbuhan.  Dipercayai ia belum tersentuh sejak zaman air batu dan memenuhi kawasan seluas 19.12 juta ha.  Kini terdapat sebanyak 2,000 spesies tumbuh-tumbuhan yang dilaporkan mempunyai nilai perubatan dan jumlah ini merupakan khazanah kimia yang sangat berharga yang boleh dimanfaatkan untuk penjagaan kesihatan.  Industri Malaysia masih diperingkat awal.  Kebanyakan herba yang digunakan dimport dan China, Indonesia dan India.  Melalui tinjauan etnobotanikal dan hasil kajian daripada farmakologi dan ujian klinikal, beberapa jenis herba yang dianggap berpotensi untuk dikomersialkan telah dikenalpasti seperti pegaga (cantella asiatica), hempedu bumi (andrographis paniculata), kemangi (ocimum sanctum), dukung anak (phyilanthus niruri) dan banyak lagi.  (Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 7/1999).

Senarai Herba yang Berpotensi di Malaysia

  1. Lidah Buaya
    Aloe Vera (L) Burm.f. – Famili: Liliaceae
    - produk penjagaan kulit / krim muka
    - minuman dan makanan kesihatan
    - syampu
    - krim antiseptik
  2. Hempedu Bumi/Akar
    Andrographis paniculata (Burm.f) wall.ex.Ness – Famili: Acanthaceae
    - ekstrak herba untuk peningkatan kesihatan dan sistem ketahanan badan
    - dadah
    - kapsul dan pil kesihatan
  3. Pegaga
    Cantella asiatica (l.) Urban – Famili: Umbeliferae / Apiaceae
    - produk penjagaan kulit
    - ramuan-ramuan herba berbentuk kapsul
    - makanan kesihatan
    - minuman herba
    - dadah
  4. Kunyit
    Curcuma demestica Loir – Famili: Zingiberaceae
    - perisa makanan
    - diet tambahan
    - krim muka
  5. Serai Wangi
    Cymbopogon nardus (l.) Rendle – Famili: Graminae
    - pewangi
    - losyen
    - sabun
    - bahan-bahan pencuci
    - pengawalan serangga dan lipas
  6. Tongkat Ali
    Eurycoma longifolia Jack – Famili: Simaroubaceae
    - perangsang tenaga batin
    - tonik kesihatan
    - ramuan-ramuan herba berbentuk kapsul
    - ubat sapu / salap
  7. Cekur
    Kaemferia galanga Linn – Famili: Zingiberaceae
    - tonik selepas bersalin
    - salap / ubat sapu
    - perisa makanan
  8. Pokok Tea
    Kaempferia galanga Linn – Famili: Myrtaceae
    - krim antiseptik
    - ubat sapu / salap
    - syampu berubat
    - pencuci mulut
    - sabun
    - Merawat lelah dan selsema
    - Aromaterapi
    - Perisa Makanan
  9. Mengkudu / Noni – Famili:  Rubiaceae
    - minuman tonik kesihatan
    - produk rawatan masalah kulit
    - antioksidan
  10. Kemangi – Rubiaceae
    - kosmetik
    - sirap batuk dan selsema
    - syampu dan sabun
    - mandian herba
  11. Misai Kucing – Famili:  Lamiaceace
    Orthosiphon staminens Benth
    - produk rawatan bagi masalah buah pinggang dan sistem perkumuhan
  12. Dukung Anak – Famili: Euphorbiaceae
    Phyllanthus niruri Linn
    - tonik kesihatan dan produk untuk ibu bersalin dan memudahkan penghazaman
  13. Nilam – Famili: Lamiaceae
    (Pogostemom cablin Blanco) Benth
    - pengeluaran minyak sabun, losyen dan perasa makanan

Di sini dirangkaikan ke beberapa laman web mengenai herba, jenis-jenis dan fungsinya:-

LIMAU BALI MELOMAS

Limau bali merupakan limau yang dapat tumbuh dengan baik dan tidak menghadapi saingan daripada negara-negara pengeksport limau.  Limau boleh dibahagi kepada tiga kumpulan:-

  • Kumpulan dari Cina 
    Mempunyai buah berbentuk seperti pir, berisi kuning dan berkulit tebal.  Varieti utama ialah Shatian-yu yang ditanam di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
  • Kumpulan dari Thailand
    Mempunyai buah yang lebih kecil.  Varietinya ialah Limau Siam dan Limau Bali Siam yang terdapat di Kubang Pasu, Kedah.
  • Kumpulan dari Indonesia
    Mempunyai buah berisi putih, tidak berasid dan berkulit tebal.  Antara varieti yang popular ialah Tambun Manis dan Tambun Masam, bersempena dengan nama kawasan tanaman limau bali yang terkenal di Kinta, Perak.  Kultivar ini amat popular kerana berjus serta kandungan asidnya rendah.

Penemuan Varieti Limau Bali MELOMAS

Sebagai pusat sumber genetik tanaman limau, negara kita kaya dengan pelbagaian genetik limau bali dan jenis-jenis limau lain.  Oleh sebab ini, kultivar limau bali boleh dibaiki untuk tujuan ekport.  Manakala varieti baru boleh dibangunkan dengan agak cepat daripada janaplasma ini.  Pokok daripada biji benih yang ditanam di persekitaran rumah atau tumbuh liar kesemuanya pokok unik dan berpotensi yang boleh dieksploitasi bagi pemilihan varieti yang baik.

Mutu buah MELOMAS

  • Buah bersaiz kecil hingga sederhana dengan berat anggaran 1-1.2 kg.
  • Buah agak bulat dan kulit mudah ditanggalkan.
  • Kulit nipis, hijau kekuningan apabila matang dan terdapat bulu halus di permukaannya.
  • Isinya putih kuning dan samar-samar merah jambu dan kurang berserabut.
  • Berjus, rasanya manis, wangi, kandungan gula tinggi, kandungan asid rendah dan tidak ada rasa pahit selepas makan.

Amalan Kultur

Dapatkan mata tunas yang disahkan bersih daripada penyakit dan  cantumkan kepada pokok penanti jenis Swingle citrumelo atau Troyer citrange.  Jarak tanaman pokok cantuman ialah 6m x 7m.  Bagi pokok tut dan pokok yang dicantum pada pokok penanti cergas, jarak tanaman ialah 7m x 8 m.

Jadualkan masa pembungaan supaya pokok mengeluarkan hasil pada waktu permintaanya baik seperti musim perayaan Tahun Baru Cina dan perayaan Kuih Bulan.  Ini dapat dilakukan dengan mengaruh pembungaan pada bulan Julai/Ogos untuk perayaan Tahun Baru Cina dan bulan Mac/April untuk perayaan Kuih Bulan.

Pengaruhan bunga untuk musim pengutipan pertama boleh dicapai dengan memangkas pokok.  Misalnya untuk perayaan Kuih Bulan, pokok dipangkas selepas buah dikutip untuk perayaan Tahun Baru Cina. Seterusnya pokok akan mula berbunga pada bulan Mac.  Masa yang diambil dari berbunga hingga buah dikutip ialah 5 1/2 bulan.  Buah akan dikutip pada bulan September iaitu musim perayaan Kuih Bulan.  Apabila memangkas, semua ranting yang telah berbuah, ranting mati dan berpenyakit dibuang.  Untuk musim pengutipan kedua, pembungaan untuk pengutipan perayaan Tahun Baru Cina bermula pada bulan Julai/Ogos.  Tiada pemangkasan dilakukan kerana buah sedang membesar untuk pengutipan pada bulan September.

Selepas memangkas, baja organik (tahi ayam) ditaburkan pada kadar 3 kg (pokok muda) hingga 30 kg (pokok melebihi 6 tahun).  Baja sebatian dan batu kapur magnesium dibekalkan dari semasa ke semasa.  Pada musim berbunga, racun kimia digunakan untuk mengawal kanker bakteria, penyakit samar, antraknos, koya, teritip, pengorek buah, lalat buah dan pelombong daun.

Apabila mencapai saiz sebesar bola golf, penjarangan buah dilakukan dan hanya sebiji buah ditinggalkan pada setiap dahan hujung.  Buah kemudian dibungkus dengan kertas setebal dua lapisan.  Buah boleh dipetik 5 1/2 bulan selepas berputik.  Pada tahap ini buah limau bali cukup matang dan sesuai untuk dipasarkan.  Pada kematangan ini buah limau bali telah mencapai tahap kemanisan yang sesuai dengan jumlah pepejal larut lebih kurang 10% dn pH 6.0.  Jumlah pepejal larut limau bali Melomas lebih baik daripada Tambun Manis.  Limau Bali Melomas boleh disimpan selama 4 minggu pada suhu 14-15oC tanpa menjejaskan mutu dan citarasanya.  Semasa penyimpanan kulit buah limau bertukar warna menjadi sedikit kekuningan.  Buah limau bali Melomas juga sesuai untuk pemprosesan minimum memandangkan buah ini besar, mahal dan remeh untuk mengupas dan membersihkannya.  Setelah dibuang kulit, ulas-ulas limau bali boleh dibungkus dalam bekas propilena dan disimpan pada 2-5oC selama 3 minggu.  Kulit limau bali boleh juga diproses menjadi halua, jeruk dan dijadikan snek.

Bahan tanaman Melomas atau cantuman boleh didapati di MARDI dengan harga RM8.00 (tut) dan RM10.00 (cantuman).      (Dipetik dari majalah Agromedia Bil. 5/1999).

FERTIGASI

Kaedah fertigasi merupakan satu kaedah baru yang ditemui bagi menjalankan penanaman sayur-sayuran dalam tempoh masa jangka pendek.   Kaedah ini tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman.  Medium-medium yang boleh digunakan seperti sabut kelapa, pasir sungai, sekam padi, vermikulit, perlit dan habuk kayu.  Beberapa jenis sayur-sayuran seperti tomato, cili, terung panjang, timun jepun, kobis bulat, lobak putih dan tembikai wangi sesuai menggunakan kaedah penanaman secara fertigasi.

Nutrien

Nutiren atau baja diberikan kepada tanaman secara sistem pengairan.  Nutrien disalurkan dalam bentuk larutan dan dititiskan ke pangkal tanaman untuk membasahi zon perakaran.

Nutrien-nutrien yang dititiskan terdiri daripada nutrien NPK (Nitrogen, Fosforos dan Kalium) sebagai unsur utama.  Manakala pemakanan makro pula terdiri daripada unsur-unsur surih seperti Kalsium (Ca.) Magnesium (Mg), Sulfur (S), Ferum (Fe), Mangan (Ma), Kuprum (Cu), Kobaltam (Co), Zink (Zn), Boron (Bo), Klorin (CI) dan Molibdenum (Mo). Kaedah ini juga dikenali sebagai ‘Hodroponik Beraggregat’.  Larutan-larutan nutrien yang dianggap sebagai nadi kepada kaedah fertigasi ini diagihkan dalam tiga cara itu secara Aliran Graviti, Pam Elektrik dan Penyuntik baja.  Aliran graviti boleh dilakukan secara manual oleh pengusaha mengikut kehendak dan jangka masa yang ditetapkan olehnya.  Air dan baja yang telah dibuat, disalirkan ke tangki penyimpanan yang diletakkan di tempat yang tinggi.

Dengan menggunakan tenaga graviti, baja tadi akan disalirkan ke tanaman.  Cara ini lebih praktikal digunakan oleh petani-petani memandangkan kosnya yang lebih rendah.  Manakala pam elektrik dan penyuntik baja pula menggunakan tenaga elektrik dan motor untuk pembajaan.  Tempoh masa pembajaan telah ditetapkan oleh pengusaha.  Oleh itu kosnya adalah lebih tinggi.  Seringkali kedua-dua cara ini digunakan oleh penyelidik-penyelidik untuk mendapatkan keputusan penyelidikan yang tepat.

Setiap tanaman mempunyai kadar nutrien yang berbeza.  Para pengusaha hendaklah bijak dalam melakukan formulasi nutrien dan peka kepada tindakbalas pokok terhadap setiap formulasi nutrien yang dibuat.  Tindakbalas ini menunjukkan kesesuaian tanaman terhadap formulasi nutrien yang dirumuskan.

Kelebihan

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, masalah tanah seperti keluasan tanah terhad, tanah tidak subur, perumah penyakit dan perosak dapat diatasi kerana mikroorganisma penyebab penyakit yang selalu dibawa oleh tanah boleh dikawal kerana tanah tidak digunakan.  Nutrien lengkap dititiskan mengikut jumlah, keperluan tanaman serta peringkat pertumbuhannya.  Nutrien yang dibekalkan tidak terbazir kerana digunakan terus oleh akar tumbuhan.  Oleh itu, keperluan tenaga buruh bagi tujuan kerja-kerja membaja dan merumput dapat dikurangkan.

Masalah merumpai bukan lagi menjadi masalah utama.  Oleh itu penggunaan racun ke atas tanaman dapat dikurangkan.  Penggunaan baja adalah lebih cekap kerana baja yang diberi adalah mengikut formulasi yang diperlukan oleh tanaman.  Hasil yang diperolehi adalah lebih tinggi dan boleh mencapai pada kadar kira-kira 700% jika dibandingkan dengan cara penanaman dengan menggunakan tanah sebagai medium.  Hasil tanaman tidak tercemar oleh tanah dan akan kelihatan lebih bersih.

Keperluan infrastruktur

1.     Rumah Lindungan
Rumah lindungan didirikan bagi mengekalkan kelembapan, mengelakkan pancara ultra unggu serta terik cahaja matahari yang berlebihan.
2.     Sistem pengairan (titisan)
Sistem Pengiaran terdiri daripada pusat kawalan nutrien, paip ladang dan penitis (2L/H).
3.     Punca Air
Air boleh didapati dari kolam, telaga, telaga tiub dan lain-lain.  Air yang digunakan hendaklah bersih, jernih, bebas daripada penyakit dan pencemaran, tidak berbau dan mempunyai kandungan oksigen yang tinggi.
4.     Baja Fertigasi
Baja yang disediakan haruslah sesuai dengan tanaman agar dapat menghasilkan hasil yang tinggi.
5.     Alat Pengukur pG dan EC Larutan
Terdapat banyak pilihan yang boleh digunakan bagi mengiiut nilai pH dan nilai EC.  Biasanya ‘pocket size’ pH meter dan EC meter atau ‘portable pH/EC/TDS meter’.
6.     Media
Kadar pegangan air adalah dalam 60-80% dan udara 20-40%.  Contoh:  campuran habuk sabut kelapa dan arang sekam padi (1:1).
7.     Biji Benih
F1 hibrid (Holland seed) menjadi pilihan.  Tahap ketahanan rintang penyakit lebih terjamin, merupakan biji benih yang berkualiti dan untuk mendapatkan kadar percambahan yang maksimum.
8.     Bekas Tanaman
Bekas tanaman yang sering digunakan adalah polybeg 12″ x15″ atau 12″ x 17″.
Cara-cara Penyediaan Kaedah Fertigasi

Batu kelikir yang berukuran 1.3-1.9 cm diletakkan di dalam beg plastik atau saluran yang berdindingkan simen atau kaca gentian.  Titisan nutrien dimasukkan dari bahagian permukaan beg tersebut secara graviti.  Tititsan nutrien ini dibiarkan untuk 5-10 minit sehingga kelihatan larutan tersebut keluar semula dri bahagian bawah beg.

Rumah lindingan haruslah dibina bagi mengelakkan larutan nutrien menjadi cair apabila hujan.  Bahan-bahan lain sepertiTtildenet boleh juga dibuat atap tetapi mestilah tidak menyekat kemasukan cahaya matahari dengan banyak ke dalam struktur tersebut.  Frekuensi dan volume penyiraman seharusnya disesuaikan dengan keadaan cuaca, jenis dan umur tanaman, fasa pertumbuhan tanaman dan jenis media yang digunakan.  Jika keadaan cuaca hujan, frekuensi penyiraman hendaklah dikurangkan kerana media akan menjadi terlalu basah dan memberi kesan kepada pertumbuhan akar tumbuhan tersebut.  Keseimbangan yang sesuai antara air, udara, baja yang hendak digunakan dan media tanaman hendaklah dititikberatkan.

Nilai EC (jumlah baja yang larut dalam air) dan nilai pH (tingkat persamaan) sesuatu larutan adalah penting.  Ini akan menunjukkan berapa banyak unsur nutrien yang tersedia buat tanaman tersebut.  Jumlah nutrien tidak dapat distandardkan kerana perbezaan antara iklim, media dan jenis tanaman.  Kadar kepekatan (EC) yang diberikan untuk tanaman haruslah disesuaikan dengan situasi dan keadaan.  Nilai pH yang sesuai adalah antara 5.0-6.0 kerana pada kadar ini, semua unsur nutrien dapat diserap oleh tanaman.

Waktu penyiraman, jumlah penyiraman, EC/pH ini,  EC/pH out, suhu, RH dan keadaan cuaca harus dicatatkan.  Data-data ini nanti akan membantu pengusaha dalam mengambil keputusan untuk merubah satu-satu formulasi.

Anggaran kos dan belanjawan (0.4 hektar) mengikut Sistem Institut Pertanian Serdang (tahun 2002) adalah seperti berikut:-

RM

Rumah lindungan  8′x8′x60′ (60 unit @ 1700)

102,000.00

Sistem pengairan:- rumah pelindung 8″x40″ dan konkrit (1 buah @ 3,000 = 3,000)
- tangkinutrien 600G + tangki stok nutrien (5 buah @ 700 = 3,500)
- paip ladang  (main line, sub line & 6,00 penitis @ 2.50 = 15,000)
- pam elektrik, timer dan fitting (1 set @ 1,500)
- upah pemasangan RM5,.000

28,000.00

Punca air pH dan EC hendaklah dalam keadaan baik

20,000

Baja fertigasi (1 pusingan) (60-80 set @ 250 = 15,000-20,000)
Alat pengukur pH dan EC (portable)

1,2000.00

Media – campuran arang sekam & habuk sabut (600 @0.70)

4,200.00

Polibeg 250 kg @ 9.00

2,250.00

Biji benih 1000 biji/bks (9 bks @ 250.00

2,250.00

JUMLAH

159,900.00

Anggaran kos dan belanjawan mengikut Sistem Harrani (tahun 2002)
Rumah lindungan 20′ lebar x 170′ panjang (5 unit @ 8,700)

43,500.00

Sistem pengairan

30,000.00

JUMLAH

73,500.00

Anggaran yang dibuat ini, hanyalah melibatkan kos pembinaan sahaja.  Kos operasi pula adalah seperti sistem yang dijalankan oleh Institut Pertanian Serdang.

Anggaran Kos dan Belanjawan Mengikut Sistem MARDI

Jumlah kos pembinaan serta kos operasi yang terlibat adalah sebanyak RM350,000 ribu.  Ini kerana MARDI lebih tertumpu kepada sistem kawalan suhu dan kelembapan yang canggih.  Segala penyelenggaraan projek ini diselenggarakan sepenuhnya dengan menggunakan sistem komputer.  Sistem ini lebih menekankan kepada aspek penyelidikan dan bukanlah untuk tujuan komersial.

Kesimpulan

Walaupun kos yang terlibat adalah agak tinggi, namun dengan kaedah fertigasi, beberapa masalah yang timbul dalam sistem penanaman secara konvensional dapat di atasi.  Sistem penanaman tanpa tanah telah dapat menghapuskan penyakit yang berasal daripada tanah.  Sebagai contoh penyakit layu bakteria yang selama ini telah menjadi masalah utama bagi tanaman tomato dan cili dapat diatasi.  Selain itu penanaman juga dapat dilakukan sepanjang tahun kerana musim hujan atau kemarau tidak mempengaruhi kegiatan penanaman.  Pengusaha dapat merancang masa dan jumlah pengeluaran hasil mengikut keperluan pelanggan dan pasaran.  Kelebihan ini memberi keuntungan kepada pengusaha kerana semua faktor penentu harga adalah dibawah kawalan pengusaha sekiranya penanaman dibuat mengikut jadual dan perancangan menepati permintaan pasaran

(Dipetik dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).

BAJA ORGANIK

Telah diakui usaha menanam sayur mampu memberi pulangan yang lumayan.  Keuntungannya akan bertambah sekiranya bijak merancang bagi tujuan menjimatkan kos pengeluaran terutama dalam penggunaan baja.  Kos membaja dalam tanaman sayur agak tinggi berbanding dengan lain-lain tanaman.

Sisa tanaman dan habuk gergaji boleh digunakan sebagai media tanaman.  Bahan ini biasanya akan dibuang oleh pengusaha tanaman selepas memungut hasil.  Satu lagi bahan utama yang penting dalam pembuatan baja organik ialah sekam padi.  Sekam padi merupakan bahan organik yang baik untuk mengemburkan struktur tanah, tambahan pula bahan ini murah dan mudah didapati.  Penggunaan najis ayam juga sesuai untuk menggalakkan pembiakan dan kesuburan bakteria yang banyak membantu dalam proses pereputan.

Teknik pemprosesan

Sisa pertanian digaul dengan najis ayam, habuk gergaji dan sekam padi.  Campuran ini kemudiannya dilonggok meninggi kelihatan seperti busut.  Bahan campuran ini akan dibalik-balikkan selepas dua minggu dan bacaan suhu dibuat pada setiap minggu dengan menggunakan alat termometer.  Sewaktu proses pereputan berlaku, bahan campuran ini akan mengeluarkan suhu yang tinggi dan suhu akan dipantau sebanyak tidak melebihi 70 celcius.  Sekiranya suhu mencecah 70 celcius, siraman air perlulah dibuat untuk mengelakkan bahan ini terbakar dengan sendirinya.  Bahan-bahan organik ini mulai reput selepas satu bulan dan akan bertukar struktur keseluruhannya menjadi peroi dan berwarna hitam selepas enam bulan. Pada peringkat ini, baja organik ini sudah cukup reput dan boleh digunakan di ladang.

Kebaikan baja organik

Perbelanjaan membaja tanaman sayur berkurangan lebih dari 50%.  Rasa sayur yang dihasilkan juga lebih rangup dan manis terutamanya lobak merah dan kobis bunga.  Penggunaan baja organik dapat mengurangkan serangan musuh perosak.  Satu lagi kebaikan penggunaan baja organik ini ialah mengelakkan berlakunya pembaziran dan tidak mengamalkan pembakaran terbuka yang lazimnya diamalkan oleh kebanyakan petani.  Penggunaan baja organik juga membantu memulihan struktur tanah yang diusahakan secara intensif.  Struktur tanah akan menjadi gembur dan banyak mengandungi bahan organan. (Dipetik dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).

BUNGA ROSELLE

(Dipetik dari Majalah Kesihatan – Rapi Bil. 133 1 Februari 2010)

Bunga Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa l, nama ini berbeza di setiap negara seperti bunga rosella (Indonesia), zuring (Belanda), oseile rouge (Perancis) atau karkadeh (Sudan).  Pohon roselle tumbuh daripada biji atau benih yang mempunyai ketinggian sehingga mencapai 3-5 meter dan mengeluarkan bunga hampir setiap tahun. Ia berwarna cerah, kelopak bunga berwarna merah gealp dan agak tebal.  Walaupun berbeza nama tetapi khasiatnya dan manfaatnya tetap sama.  Contohnya:-

Kelopak Bunga
Diproses untuk dijadikan makanan seperti manisan, jeli, minum dan serbuk (teh).

Daun Muda
Dimakan sebagai ulam atau salad.

Biji
Mengandungi minyak tertentu.

Khasiat Roselle
Ia adalah sumber utama vitamin C untuk badan kita dan kandungan vitamin C ini melebihi 20 kali ganda daripada keluarga limau (citrus).  Dianggarkan 100 gm kelopak bunga segar mengandungi 3 kali ganda daripada buah anggur hitam, 10 kali ganda daripada buah belimbing dan 2.5 kali ganda daripada buah jambu.  Selain itu, roselle juga mengandungi vitamin D, Vitamin B1, B2, niacin, riboflavin, karoten, zat besi, asam amino, polisakarida, Omega 3 dan kalsium.

Berikut khasitat yang terdapat pada Roselle.

  • Demam / Selesema
  • Anti Penuaan
  • Mencegah Kanse
  • Alahan – Resdung dan Lelah
  • Mencegah Penyakit Kardiovaskular
  • Sukar Tidur – Tekanan
  • Lain-lain
TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN (TKPM)

Selaras dengan hasrat Menteri Pertanian yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama pertanian makanan di rantau ini, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah antara komoditi yang bakal dipertingkatkan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan tempatan yang meningkat, penggantian import dan merebut peluang pasaran eksport yang semakin berkembang.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan pendekatan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), iaitu sebuah kawasan yang dimaju dan digazetkan sebagai kawasan pengeluaran sayur-sayuran, tanaman ladang (singkat masa) dan buah-buahan.  Pengwujudan TKPM secara langsung menyelesaikan rungutan para pelabur mengenai ketiadaan tanah untuk kegiatan pengeluaran pertanian secara komersial dan moden.

Konsep TKPM

Secara umumnya, pembangunan TKPM dilaksanakan ala pembangunan Taman Perindustrian di mana kerajaan akan mengazet dan memajukan sesuatu kawasan yang telah dikenalpasti sebelum dijual atau disewa kepada pihak pengusaha untuk aktiviti perindustrian.  Bezanya, TKPM hanya untuk disewakan kepada  pengusaha khusus untuk aktiviti pengeluaran pertanian makanan seperti sayur-sayuran, tanaman jangka pendek yang lain dan buah-buahan tidak bermusim yang mempunyai ‘gestation period’ yang pendek seperti nanas, tembikai dan melon.

Bagi menarik penglibatan pihak swasta, tapak-tapak tanah yang strategik dan berpotensi yang berhampiran dengan pusat pertumbuhan penduduk, industri dan akses kepada sistem pengangkutan utama akan dipilih untuk dimajukan sebagai TKPM.

Pelaksanaan Projek

Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta.  Kerajaan Negeri berperanan mengenalpasti tanah untuk pembangunan TKPM, menyediakan khidmat sokongan teknikal kepada pengusaha, manakala Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam aktiviti pembersihan kawasan, penyediaan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan masuk, sistem saliran utama dan kemudahan pengairan utama, penyediaan khidmat sokongan teknikal kepada pengusaha dan agen pengembangan.  Pihak swasta pula akan menyediakan infrastruktur dalam ladang seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran di ladang serta mengusahakan tanaman.

MoU

Bagi memudahkan pelaksanaan program di atas, pengagihan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, MoU telah/ akan ditandatangani oleh Menteri Pertanian dengan Menteri-menteri Besar.  Dalam MoU tersebut kerajaan Negeri diminta agar tidak menukar tanah selain dari kegunaan untuk TKPM.

Pemilihan peserta dibuat dari kalangan usahawan tani sedia ada di persekitaran kawasan projek, usahawan atau pihak swasta yang berminat dan mempunyai modal.  Untuk memastikan projek berjaya, peserta akan diberi pendedahan yang mencukupi mengenai teknologi penanaman dan pengurusan ladang.

Faedah TKPM

Menerusi projek ini, pengeluaran makanan sayuran yang terancang, cukup dan berterusan dapat dibekalkan untuk menampung keperluan penduduk yang bertambah.  Pengamalan teknologi yang sesuai dan terkini dapat disebarkan dengan cepat bagi menghasilkan sayuran berkualiti dan selamat disamping peserta projek boleh mendapat pendapatan lumayan dari hasil keluaran mereka oleh kerana kos infrastruktur, bahan imput dan kos pemasaran dapat dikurangkan melalui operasi secara pukal dan berkumpulan.

TKPM perlu bukan saja untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berterusan tetapi juga bagi meningkatkan pengeluaran sayuran yang berkualiti serta memberi peluang kepada penduduk tempatan dan usahawan menceburi dalam bidang penanaman sayuran dan bahan makanan bagi meningkatkan pendapatan mereka.  Disamping itu, ia dapat mengurangkan pengimportan bahan makanan.

Dengan andaian satu hektar dapat mengeluarkan 12 tan sayuran bernilai RM1.00/kg. dan 3 kali pengeluaran hasil setahun, adalah dijangka sebanyak 21,000 tan sayuran dan bahan makanan bernilai RM12 juta akan dapat dikeluarkan secara terancang dari TKPM ini dalam tahun pertama dan meningkat sehingga 106,740 tan bernilai RM106.7 juga di akhir tahun kelima Rancangan Malaysia ke Lapan.

Kemudahan infrastruktur asas akan disediakan oleh Jabatan dan usahawan-usahawan dengan pihak swasta dipelawa untuk melabur dan berusaha aktif dalam pengeluaran sayuran dan tanaman ladang secara komersil menggunakan teknologi yang sesuai.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: